Bahagiakan dirimu…

~Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang~

Sumber : http://ummuhusna99.blogspot.com

Saya mengenali seorang wanita yang kerap menjalin hubungan istimewa bersama lelaki. Sebaik hubungan sedia ada menemui titik buntu, dia pasti mencari cinta yang baru. Hidup bersendirian bukanlah pilihan kerana baginya kesunyian bermakna tiada kebahagiaan. Dia sentiasa ingin menyintai dan dicintai, menyayangi dan disayangi.

Suatu ketika, dia bersama seorang lelaki yang dilihat sangat sesuai untuk dirinya. Cuma sayangnya, lelaki itu tidak memberikan sepenuh cinta yang didambakannya. Namun dia membiarkan sahaja perkara itu terjadi tanpa mahu memutuskan ikatan yang terjalin.

Apabila ditanya, mengapa? Jawapannya, dia tidak punya pilihan lain, kerana padanya bersendirian bukanlah sesuatu yang diinginkan. Bersendirian bagai suatu penanggungan yang amat memeritkan berbanding kurangnya kasih dari kekasih. Walau itu tidak sebagaimana yang diimpikan.

Sampai saatnya, hubungan itu menjadi bertambah buruk. Perpisahan terjadi jua. Di ketika itu, dia bersedia menghadapi kemungkinan yang berlaku dan terpaksa juga hidup tanpa teman. Sungguhpun dia amat benci hidup sendiri, namun akhirnya dia kelihatan boleh menjalani saat-saat getir itu tanpa kekecewaan yang memusnahkan. Dia bagaikan baru sedar bahawa sebenarnya dia mampu hidup sendirian.

Sembilan bulan berlalu, sehinggalah dia menemui seorang jejaka yang amat baik budi. Kali ini, lelaki tersebut mahu menjalin ikatan lebih serius dan tinggal bersamanya, dan itulah yang sering diharapkan dari semua kekasihnya sebelum ini. Akan tetapi, entah mengapa, kali ini dia menolak. Dia menyedari, terlalu banyak keseronokan dapat dinikmati walau hanya hidup bersendiri.

THE RULES OF LOVE
Kisah di atas adalah cerita benar yang diberitahu oleh seorang wanita kepada Richard Templar, penulis buku The rules of love. Buku ini, buat kesekian kalinya merupakan hadiah dari suami yang saya kasihi.

Saya tertarik dengan kesimpulan Templar pada akhir pengkisahan wanita berkenaan. Menurut Templar, sungguhpun pada awalnya wanita itu bagaikan tenggelam dalam hubungan yang tidak kesampaian, namun dia hanya membiarkan dirinya lemas lantaran takut hidup bersendirian.

Akan tetapi, saat menyedari bahawa dia mampu hidup lebih gembira dan bahagia walau tanpa seseorang di sisi, dia mula meletakkan standard yang jauh lebih tinggi.

Andai nantinya, dia hidup berpasangan, kehidupan itu harus lebih membahagia dan menyeronokkan berbanding ketika dia bersendirian. Jika hidup berdua lebih menjamin itu, barulah dia sanggup menggadaikan kehidupan bersendiriannya.

Seterusnya, Templar merumuskan, untuk beroleh bahagia seseorang itu perlu belajar untuk merasa bahagia dan gembira dengan dirinya sendiri, tanpa campur tangan pihak lain. Dengan itu, barulah seseorang itu dapat mengatasi dan menghadapi rasa takut apabila tiba saatnya dia ditinggalkan berseorangan.

SITUASI BERBEZA
Kisah dan rumusan dari Templar itu amat menguja dan membantu. Saya sebenarnya pernah menerima satu emel dari seorang wanita yang menghadapi situasi berbeza dari kisah wanita di atas. Saya petik sebahagian isi emel dengan sedikit pengubahsuaian ayat tanpa mengubah maksud asal pengirimnya. Beliau menulis :

 
Dua kisah berbeza dari dua wanita muda. Yang pertama tidak boleh hidup sendiri dan sentiasa cuba untuk memiliki seseorang bagi mencurahkan kasih mesra, manakala yang kedua pula merasa cukup dengan bersendiri, tidak memerlukan seseorang untuk didampingi.

Jujurnya, dari umur 13 tahun, saya telah membuat keputusan untuk tidak /mahu berkhwin. Tahun ini saya sudah berusia 25 tahun, dan orang yangg paling tidak senang duduk ialah ibu saya.

Saya masih tidak percaya dengan sebuah ‘perhubungan’( relationship ).

Saya ada bertanya kawan-kawan, kenapa mereka ingin sangat berkahwin? Kebanyakan jawapan yang saya dapat, kerana mahukan anak. Dan saya bagai tak percaya, apa? Sekadar itu? Kemudian, setelah itu, apa pula ?

Berpandukan ayat-ayat yang kakak nyatakan pada artikel tersebut, saya masih juga tidak mengerti,

WHY we need to get marry?
Dan ketika ini saya baru membaca artikel kakak bertajuk SELAMA HAYAT INI. Saya masih tidak faham kenapa seseorang perlu berkahwin.

Seorang percaya bahawa bahagia hanya apabila ada seseorang untuk berkongsi suka duka, manakala seorang lagi tidak percaya bahagia hanya bila ada perhubungan dan cinta.

Saya cuba memahami erti bahagia dari perspektif kedua-duanya, dan di sinilah saya menemukan dua titik penting yang dapat saya ketengahkan dari kisah wanita di atas dan rumusan yang dibuat oleh penulis untuk membantu menjawab persoalan dari emel yang saya terima.

APAKAH ITU BAHAGIA?
Berapa ramai manusia hari ini yang kelihatan bahagia, namun realitinya mereka masih mencari-cari kebahagiaan yang hakiki.

Mereka mengandaikan kebahagiaan boleh diperolehi dengan menikahi wanita kerana parasnya yang cantik rupawan atau jejaka dek wajah yang tampan, atau kerana harta yang melimpah ruah, keturunan yang baik-baik, yang punya pendidikan tinggi, bekerjaya cemerlang dan seumpamanya, namun setelah bergelar suami isteri, terasa masih ada kekurangan.

Berapa ramai pula yang mengandaikan kebahagiaan akan terbit dari kehadiran anak yang ramai. Anak-anak yang sewaktu kecilnya, mulus, comel, bijak dan menghiburkan. Akan tetapi, setelah dewasa, dengan pelbagai masalah yang melanda, rasa bahagia semakin hilang dan sirna.

Ketika itu, mereka bagaikan tersedar, kecantikan dan ketampanan pasangan bukan lagi kebahagiaan. Harta yang melimpah bagaikan tiada gunanya, keturunan yang baik, pangkat dan kerjaya, pun tidak menjamin rasa gembira. Dan ketika itu juga, mereka bagaikan tersedar, anak-anak yang ramai tidak semestinya boleh menjadi punca tenang dan damai.

Semua itu tidak mencerminkan kebahagiaan !

Jiwa mulai runsing, resah dan gelisah. Duduk tak senang, berdiri tak tenang, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Pendek kata serba serbi rasa tak kena.

ERTI BAHAGIA
Justeru itu, saya agak bersetuju dengan rumusan dari Templar tentang bahagia. Penilaiannya itu walau tidak sepenuhnya bertepatan dengan nilai agama, namun ia boleh diubahsuai bagi memenuhi kehendak dan ‘ruh’ dari didikan Islam, bahawa untuk mencapai kebahagiaan di dalam hidup, seseorang itu perlu terlebih dahulu bahagia dengan dirinya.

Namun, perlu diingat, bahagia dengan diri bukan bermakna keseronokan dan kegembiraan dikelilingi perkara-perkara berbentuk material dan kebendaan, akan tetapi bahagia dengan diri ialah tenang dan bahagia yang lahir dari rasa ‘bertuhan’.

Inilah peraturan cinta Islami.

Bahagia atas setiap perintah Allah. Gembira dengan menjauhi semua larangan-Nya. Baik susah atau senang, tawa atau tangis hiba, ketenangan dan kebahagiaan itu sentiasa mengiringi kerana keyakinan dan kefahamannya bahawa dirinya ‘ada’ DIA Yang Maha Mengasihi, Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha segala-galanya untuk dia mengadu untung nasib diri.

Firman Allah SWT :

الَّذِينَ آمَنُواْ وَتَطْمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكْرِ اللّهِ أَلاَ بِذِكْرِ اللّهِ تَطْمَئِنُّ الْقُلُوبُ

Maksudnya : “(Iaitu ) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenang.” ( Surah Ar Ra’du ayat 28 )

Inilah manfaat yang paling agung. Mentaati Allah SWT dengan melakukan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan. Mengenali Pencipta yang setiap perbuatan-Nya amat berbeza dari makhluk yang ada. Memahami setiap kebaikan dan keburukan yang diberi-Nya adalah ujian keimanan. Menginsafi betapa hikmah yang tersurat dan tersirat dari segala yang berlaku dalam hidupnya adalah di dalam pengetahuan dan kehendak Tuhan. Semua ini menjadi pendorong dan motivasi untuk dia tampil tenang. Inilah ‘rasa’ kebahagiaan yang berkekalan.

Ringkasnya, ketenangan dan kebahagiaan yang diperolehi adalah hasil dari ingatan yang berterusan kepada Allah ar Rahman.

BERKAHWIN UNTUK BERKONGSI

Jika dari kisah wanita pertama, setelah menemui rasa bahagia dengan bersendirian, dia menolak hidup berpasangan, maka di dalam Islam, perkara sebaliknya pula yang dianjurkan.

Berkahwinlah untuk berkongsi kebahagiaan.

Tujuan dari perkahwinan di dalam Islam, bukan semata-mata untuk menghalalkan kasih cinta si Uda dan Dara, atau untuk beroleh cahaya mata dan zuriat penyambung warisan keluarga. Tetapi lebih dari itu ia adalah manifestasi kesyukuran yang terbit dari kebahagiaan dan ketenangan diri untuk sama-sama dinikmati oleh orang lain sebagai menyahut seruan Allah dan Rasul yang dicintai.

Berkahwin demi mengambil manfaat dari janji Allah SWT bahawa sakinah, mawaddah dan rahmah, semua itu tersedia di dalam sebuah ikatan yang sah.

Firman-Nya :

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya : “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berpikir.” ( Surah ar Rum ayat 21 )

Berkahwin juga sebagai mengikut satu jalan ( sunnah ) dari jalan-jalan yang dianjurkan oleh Rasul-Nya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud :

“Daripada Anas r.a, katanya telah bersabda nabi S.A.W bahawa perkahwinan adalah sunnahku, sesiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan dari golonganku.”

Bila peraturan ini difahami sebaiknya, maka seorang wanita yang bahagia akan menjadi isteri yang membahagiakan suami dan anak-anaknya. Begitu juga, seorang lelaki yang bahagia, akan melebarkan kebahagiaan itu kepada isteri dan cahaya hatinya.

Keluarga yang bahagia melahirkan masyarakat yang bahagia. Masyarakat yang bahagia mewujudkan sebuah negara yang bahagia. Bahagia bernaungkan rahmat dan berkat dari Tuhan Yang Maha Esa.

Alangkah besar kesan yang lahir dari individu yang bahagia dengan dirinya! Maha Suci-Mu, Ya Allah !

BAHAGIAKAN DIRIMU…
Akhirnya, insafilah, bahawa insan yang disayangi, baik pasangan ( suami atau isteri ), anak-anak, saudara mara dan sahabat handai, bukanlah punca dan sumber bahagia. Mereka hanya lah satu juzuk dari kebahagiaan di dunia.

Being alone is great, but being with them is even better!

Begitu juga harta, pangkat dan kesenangan yang ada. Ambillah manfaat yang tersedia darinya tanpa melupakan akhirat yang lebih kekal di sana, sebagaimana Allah SWT berfirman :

وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللَّهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ الدُّنْيَا وَأَحْسِن كَمَا أَحْسَنَ اللَّهُ إِلَيْكَ وَلَا تَبْغِ الْفَسَادَ فِي الْأَرْضِ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُفْسِدِينَ

Maksudnya : “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.” ( Surah Al-Qashas ayat 77 )

Ingatlah dua perkara ini : 1) Bahagiakan dirimu dan 2) Berkongsilah rasa bahagia itu.

InsyaAllah, kebahagiaan dan ketenangan akan sentiasa memayungi, kerana bahagia sebenar adalah dari ‘jiwa kehambaan’ yang sejati.

Hidup bahagia bersama-Nya, walau tanpa atau bersama mereka yang tercinta.

~Salam Kasih~🙂

5 thoughts on “Bahagiakan dirimu…

  1. Alhamdulillah satu kisah yg menyentuh hati anak yg masih punya ibubapa..syukur ya Allah..

    jarang ada cerita berkisah ayah~

    keep it up!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: