Kisah Seorang Saufi (EP 2)

Assalamualaikum w.b.t.

hening

“Bila abi mahu sedar umi?” Suhana pantas bertanya.

Aisya memandang Suhana. Tepat menjamah anak mata Suhana yang berwarna coklat itu.

“Mengapa Suhana tanya begitu?”

“Kerana Suhana tahu Allah sayangkan setiap manusia yang berbuat kebaikan. Terutamanya abi dan umi. Tidakkah Allah berasa kasihan dengan umi dan abi? Mengapa perlu kami bersedih melihat abi dan umi sebegini?”

“Puas kami berdoa dan mengaji setiap hari. Mengapa abi tidak sedar-sedar lagi. Bila umi? Bila abi akan sedar?” Suhana bertanya.

Aisya tersenyum. Dia mencuba menahan diri daripada tewas dengan air mata. Dia menggamit Suhana supaya duduk bersebelahan dengannya.

“Kerana kita perlu berdoa, sayang. Berdoa setiap hari tanpa berputus asa kerana Allah dengar doa setiap hamba-Nya,” jelas Aisya.

“Tetapi Allah tidak makbulkan permintaan kami. Bila umi? Bila?” Suhana menangis tersedu-sedan lalu memeluk Aisya.

“Allah itu Maha Mendengar. Doa itu bukan permohonan tetapi kewajipan. Berdoa itu lambang kehambaan kita pada Yang Maha Esa. Doa itu juga perlu kita lakukan setiap masa kerana kita hamba Allah selama-lamanya.”

“Doa itu juga mungkin tidak akan dikabulkan serta merta. Mungkin pada waktu lainnya atau mungkin Allah berikan sesuatu yang lebih baik di akhirat.”

“Nana mahu jadi setabah umi!”

Umi yang namanya Aisya. Roh dan jiwa berbisik,

‘Aisya akan tunggu abang sedar biar bertahun lamanya, biarpun Aisya terpaksa menanti abang sampai ke syurga.’

-A quote from Dan Gerimis Berbisik

 Jejak Langkah Saufi

Kisah di atas mengingatkan saya tentang Saufi, ketabahannya dan kebesaran jiwa keluarganya. Terngiang-ngiang segala persoalan Saufi di benak minda saya. Terbayang pandangan mata Saufi yang penuh penderitaan dan tidak mampu diucap. Teringat saya pada genggaman tangan Saufi pada ibunya menagih kepastian dan harapan. Corong telinga saya masih jelas memperdengarkan tangisan kesedihan Saufi berulang kali. Semuanya masih jelas terpapar di mata saya sebagai iktibar dan pengajaran.

Alhamdulillah. Saufi kini sudah mampu berjalan sendiri menggunakan tongkat. Sudah mampu duduk di atas kerusi makan cafe V5 UTP tanpa kerusi roda. Walaupun Saufi tidak mampu bertahan lama untuk duduk dan berjalan sendiri, itulah kekuatan dan semangat yang dikurniakan Allah buat Saufi. Fisioterapi masih berjalan mengikut jadual seperti biasa. Kini Saufi sedang menjalani rawatan pemulihan suara untuk mengembalikan kebolehan berkata-kata seperti insan normal lainnya.

29hb Disember 2012, saat kami berada dalam pengajian di semester akhir, Saufi bersama keluarganya menziarahi UTP. Seluruh rakan dan taulan hadir menyambut kehadiran Saufi dan keluarga di Cafe V5. Saufi punya ramai sahabat sejati, sahabat secourse, sahabat seevent, sahabat seorganisasi, dan adik-adik seusrah yang juga bersama dalam kerja buat Islam. Majoritinya hadir menyalami dan memeluk cium Saufi. 

saufi1

Apa la yang dewo bualkan tu..

saufi

 Saufi dah boleh berjalan😉

Walaupun masih berkomunikasi dengan isyarat tangan dan jari, Saufi masih kenal wajah sahabat-sahabatnya dan mampu mengenal nama setiap dari kami. Saya sendiri terharu Saufi masih ingat saya. Yang paling penting, Saufi masih ingat solat, juga rukun-rukun wudhuk sehingga mampu menegur kesilapan adik-adiknya ketika menyapukan air wudhuk ke anggota tubuhnya. Saufi juga masih ingat ma’thurat yang selalu dibacanya dulu, dan ia kekal sehingga sekarang. Usrah Intern, Bransfield, RECMO, RCSU semua masih dia ingat. Cuma terkadang Saufi kecewa sebab dia masih tak mampu ingat semua. Saufi tidak mampu mengingati perkara apa yang dirinya lakukan di Bransfield, RECMO dan sebagainya. Bersabarlah Saufi. Dengan izin Allah, yang terbaik untuk dirimu.

Itulah Saufi yang terus mengumpul keazaman untuk sembuh. Namun, ia hadir dengan ujian iman dan kesabaran. 

BangLong Bukan Tuhan!

Hati mana yang tidak sayu melihat kesedihan Saufi. Hati mana juga yang tidak terkesan dengan pengorbanan si ibu dan ayah yang setia bersama Saufi. Seakan-akan kisah yang saya nukilkan pada awalan tadi, perasaan saya sama apabila membuka lembaran kisah hidup Aisya dan lembaran kisah hidup Saufi.

“Mak cik lega bila Saufi sedar, mak cik dah boleh senyum dan ketawa. Tapi hati ni rasa lebih perit rasanya sekarang, lebih mencabar rasanya Nazihah.”

“BangLong pernah tanya makcik, kenapa dia masih tak sembuh2? Kenapa dia masih tak ingat semua? Kenapa tak bunuh je BangLong? Kalau BangLong tak sembuh BangLong nak mati!”

Saya rasa semakin sebak bila Saufi berkata dengan bahasa tubuhnya;

“BangLong dah cukup menderita..”

Air mata yang bergenang saya tahan-tahan supaya tidak tumpah di hadapan Saufi dan ibunya, tanda kekuatan yang saya ingin sampaikan pada mereka. Saya mengusap belakang ibu Saufi untuk menenangkan beliau, sedang ia menenangkan Saufi yang masih dirundung hiba.

“BangLong bukan Tuhan! BangLong kene kuat, baru mak kuat. Macam mana mak nak kuat kalau BangLong cakap macam ni..”

“Kita usaha BangLong, kawan-kawan semua doakan BangLong sembuh. BangLong  dah pergi jauh, dah nak sembuh.. Jangan putus asa. Menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan.”

Hening. Saufi mengangguk-ngangguk, kemudian menangis kembali mendengar kata-kata pujukan dan semangat ibunya. Sungguh, rasa dalam hatinya hanya dia yang tahu betapa perit.

“BangLong sentiasa ingat pada Allah.” Inilah kata-kata Saufi yang saya paling ingat. Dia masih ingat pada Allah yang menentukan segala Qada’ dan Qadar walau terkadang dirinya tewas menghadapi derita.

Sabar dan kuatlah Saufi!

Masa Depan Itu Ada Dalam Genggaman Allah!

Saya yakin Saufi dan keluarganya tidak pernah menyangka perkara seberat ini menimpa mereka. Inilah namanya ujian takdir. Sesuatu yang telah ditentukan Allah yang tidak pernah kita sangka.

Saya juga tidak tahu bagaimana kesudahan hidup saya. Anda juga. Justeru, kisah hidup Saufi memberikan satu dimensi baru buat diri saya untuk lebih bersedia manghadapi kemungkinan masa hadapan. Dan Allah tidak akan memberi sesuatu yang tidak mampu kita lakukan. Al-Baqarah:286.

Dan kelak pinjaman yang Allah beri pada kita, perlu dipulangkan jua.

Believe, everything comes with reason!

***

Untuk Saufi, makcik dan pakcik… Ketahuilah, bahawa kalian orang hebat! Masih berpegang teguh pada agama saat ditimpa cabaran. Saufi sangat beruntung dikurniakan makcik dan pakcik sebagai ibu dan ayah.😉

Untuk seluruh sahabat Saufi, jom doakan Saufi dan sebut namanya sentiasa dalam doa-doa kita. Semoga Saufi dikurniakan yang terbaik untuknya dan perkara terbaik itu hanya Allah yang tahu.

Untuk anda dan kita semua, pandanglah dengan mati hati. Kisah Saufi memberi inspirasi dalam lembaran hidup saya.

Dalam setiap keadaan, bergantung haraplah pada Allah. Kerana hanya Dia yang hakiki. Jadilah sebaik-baik hamba!

sahabat saufi

Sahabat Saufi dunia akhirat insyaAllah

sahabat1

Salam kasih😉

p/s: saya harap Saufi baca post saya bila dia dah sihat nanti. Ini catatan sejarah hidupnya yang juga mewarnai hidup saya.🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: